Tekanan itu penyakit yang bagi aku formal. Biasa berlaku pada manusia normal. Kebiasaanya mereka yang bergelar dewasa. Ia juga sering berlaku pada pelajar sekolah. Aku tak nafikan semua itu, sedangkan kanak-kanak pra-sekolah pun akan mengalami tekanan. Cuma, tekanan itu tidak seberat apa yang orang dewasa alami. Tambahan pula bagi kanak-kanak dalam umur 6-10 tahun, mereka belum mengerti sepenuhnya tentang apa itu tekanan. Tidak mustahil ada juga yang tidak tahu situasi apa yang sedang mereka alami. Hanya yang mereka tahu, menangis...mengadu nasib....kemudian menangis kembali. Apa tekanan yang sering dialami kanak-kanak dalam julat umur sebegitu? Jika diselidik secara rawak, sebenarnya banyak. Antaranya, tekanan dari rakan sebaya. Contohnya ejekan, buli. Tidak terkecuali tekanan daripada guru, antaranya kerja sekolah yang banyak. Namun, itu adalah sebahagian dari tanggungjawab guru kepada murid. Jadi, aku tak berani untuk kritik lebih. Kesimpulannya, tekanan yang dialami pelajar sekolah rendah umumnya, tidaklah terlalu 'heavy' hingga menganggu prestasi.
Berbeza dengan apa yang berlaku pada orang dewasa. Tekanannya lebih mencabar. Lebih berat juga hebat. Pemerhatian aku, tekanan berat ini berlaku seawal umur 15 tahun(remaja) hingga dewasa. Aku sendiri mengalami tekanan setiap kali aku mulakan perjalanan hari. Kalau sudah namanya kerja, tekanan pasti ada. Sedangkan majikan yang bergaji besar itu pun mengalami tekanan, inikan pula aku si pencacai picisan yang bergaji kecil, sudah pasti punya 1001 rencah tekanan. Pendek kata, selagi mata masih tebuka, tekanan pasti menerpa. Aku taknak huraikan apa jenis tekanan yang dialami orang dewasa. Sebab bagi aku, masing-masing ada tekanan sendiri. Tapi bahana tekanan ini sampai ada yang berani cabut nyawa sendiri. Na'uzubillah...
Tekanan itu boleh menyebabkan orang menangis. Tak kurang juga yang jadi gila akibat tekanan. Hilang kewarasan diri disebabkan tekanan. Remaja umumnya yang berumur lingkungan 15 tahun keatas, sering mengalami tekanan yang kebanyakannya dari keluarga. Aku faham, ibubapa yang mana punya anak umur 15 tahun akan mula risau pada anak mereka. Kerana 15 tahun itu adalah permulaan tahap kematangan bagi remaja. Bermula umur 15 tahun inilah, remaja mula timbul rasa atau naluri ingin mencuba. Tak kira apa yang mereka nak cuba, yang pasti pada umur inilah fikiran remaja mula terbuka dengan perkara-perkara samada positif mahupun negatif. Jadi, ibu bapa pasti risau, takut anak-anak mereka terjunam ke lembah negatif. Maka, mereka mula menghadkan pergaulan juga aktiviti anak mereka. Namun yang menjadi masalah, remaja pula menganggap tindakan ibubapa mereka adalah suatu kongkongan. Dan itu menjadikan diri mereka tertekan seterusnya memberontak. Itulah masalah yang berlaku keatas remaja melayu lewat ini...
Aku sering alami tekanan dimana situasinya berkenaan orang atasan juga rakan sekerja yang tidak faham masalah aku. Apa yang mereka tahu, arahan yang mereka beri, aku siapkan. Ya, aku akui, itu adalah tugas, Tapi sebagai manusia biasa yang bukan lahir dari sebuah robot, mereka harus tahu bahawa aku juga manusia. Punya kudrat dari tulang 4 kerat yang tenaganya terhad. Namun, itulah yang sering aku alami. Jika diturut emosi, buku lima aku jadikan 'hantaran ikhlas' sebagai tanda terima kasih. Tapi aku masih waras, aku mengerti emosi itu bukan penawar penenang hati. Jadi aku sabar. Aku terima, aku telan biar sampai dasar. Aku faham, mereka yang memberi tekanan itu sebenarnya tidak tahu cara untuk atasi tekanan lalu mereka lepaskan tekanan mereka pada orang bawahan atau orang-orang yang dekat dengan mereka.
Kalau dikaji secara terperinci, banyak cara untuk elak tekanan. Cari saja diblog-blog, majalah kesihatan, pasti ada caranya untuk atasi tekanan. Yang mujarab pastinya dengan sabar seterusnya doa. Ada juga yang cari tenang dengan muzik. Tak kurang juga yang cari tenang dengan melihat pemandangan alam yang hijau, langit biru juga angin yang berlalu. Dan cara aku adalah senang dan mudah...Jika ada mereka-mereka datang kepada kita, kemudian mereka lepaskan tekanan kepada kita, mereka berkata itu dan ini, menyalahkan kita itu dan ini, kita cuma perlu...letak jari telunjuk di mulut, pejamkan mata dan senyum, hati bertenang kemudian cakap.."Syyyy....maaf, saya dalam tekanan sekarang....terima kasih".
