Assalam dari aku...untuk aku...buat aku...

"sesi mengadaptasi sebuah mimpi menjadi realiti...lalu realiti menjadi duri yang menghiasi hidup ini hingga diri mula mengerti bahawa hidup ini sebuah perjuangan antara diri sendiri menentang jiwa hakiki..."

Jumaat, 20 Julai 2012

Akhirnya....Ia Datang...

Tengah hari yang selamat...Alhamdulillah aku ucapkan. Rasanya belum terlewat untuk aku ucapkan, Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan atas kembalinya bulan mulia ini dalam legasi 2012. Siapa sangka, kita masih brnyawa untuk menghadapi bulan yang mulia, bulan segala bulan. Sesungguhnya, semua itu urusan Allah. Dia masih beri kita peluang untuk memperbaiki Ramadhan kita yang lalu agar ia menjadi lebih baik dan bermakna. Kalau dulu dalam 30 hari, mungkin kita hanya mampu tunaikan 25 hari. Ada juga yang cuma isi 20 hari. Maka, tahun inilah masanya untuk kita kemaskini rekod Ramadhan kita.

Bulan ini jugalah saat yang paling tepat untuk kita uji tahap kesabaran jiwa kita juga iman kita. Sesungguhnya, Ramadhan itu penuh dengan ujian, sarat dengan cobaan namun disetiap ujian juga cobaan itu, Allah sisipkan pahala juga ganjaran yang berganda. Hanya yang dahagakan pahala akan laluinya dengan redha dan sabar. Hanya yang mengerti, akan sedayanya memahami apa rahsia disebalik keindahan Ramadhan.

Usah mengeluh dengan Ramadhan, kerna itu akan mengurangkan pahala yang telah kita kumpul sejak terlafaznya niat puasa dari hati kita. Biar berpeluh, asal tak mengeluh. Allah tahu, apa yang terbaik untuk kita. Dia juga tahu, apa yang kita mampu dan apa yang kita tak mampu. Bukankah Allah hanya menurunkan ujian atas kemampuan manusia. Sesungguhnya, Dia tidak akan menurunkan ujian diluar kemampuan hambaNya. Jadi, bersabarlah. Ramadhan itu punya 1001 nikmat yang rahsia untuk mereka yang bersungguh merungkainya.

Memang syaitan dipasung juga dirantai saat ini. Tapi, nafsu itu lebih mencabar. Perangilah sedayanya kamu, agar tidak terpengaruh dengan nafsu. Seharusnya kita sebagai manusia menjadi `pengarah' kepada nafsu kerna nafsu itu hanya menumpang dalam diri kita. Banyak aspek yang perlu kita titikberatkan jika mahu menjadi 'pengarah' kepada nafsu. Jaga mata agar tidak tergoda. Jaga lidah, agar tidak terlajak madah. Jaga hati, agar tidak iri hati. Jaga raga, agar tidak ternoda. Langkah biar suci berniat, agar nanti jalan tak sesat. Biar buta mata, biar tuli telinga..asalkan celik minda, terang jiwa.

Sesungguhnya, bulan ini bulan keredhaan. Mohonlah keampunan, raihlah keredhaan, sambutlah kemaafan dan nikmatilah keindahan Ramadhan....

Isnin, 16 Julai 2012

akurlah....kita bukan hebat...

malam sudah malam..aku tengok pun makin kelam. tapi mata jugak yang tak nak pejam. ku fikirkan waktu memang kejam. masakan tidak, bergeraknya pantas, langsung tak tinggal apa yang melintas. aku yang geraknya lambat, langsung tertiggal. nak kejar, kaki tak panjang, langkah tak lapang. maka aku sedar, rupanya aku ni menumpang.

dari dunia sampai lah ke tempat tinggal, aku masih menumpang. rumah? mak aku yang punya, itupun peninggalan dari arwah abah. dunia? memang sah la, bukan aku yang punya. nak kena panah petir kalau aku mengaku dunia ni punya aku? biar jahil, asal tak bakhil. tapi, ada orang pakai prinsip yang lain. katanya, biar bakhil, jangan jahil. kalau bakhil, masa depan tak akan jahil. tapi kalau jahil, nak jadi Haji Bakhil pun menggigil. nak cari cubit nasi pun terbuntal-bantil.

yakin...aku yakin, dalam dunia ni majoritinya tak sedar apa itu 'sementara'. apa tu 'sementara'? apa definisinya? apa hubungkaitnya dengan manusia? dunia? majoriti? apa semua tu? what the..??..AAAaaaAAHHHhh!!!

biar aku serakkan hujah ku tanpa tauliah....'sementara' tu formalnya bermaksud, tidak kekal..tidak lama..tidak terus disitu dan sewaktu dengan azalinya. tapi aku nak huraikan apa itu S.E.M.E.N.T.A.R.A.
Semestinya Enak Manusia Elak, Namun Tuhan Ada Rahsia Azalinya. itulah huraian peribadai aku.

memang dalam dunia ni, kita sebagai manusia sebolehnya ingin mengelak dari sesuatu yang kita tidak suka. apa yang kita tak suka? macam-macam kalau nak dikira. cerewet itulah manusia. memilih juga sifatnya kita. tak mahu itu, kita pilih ini. tak mahu ini, kita cari yang itu. kononya nak yang sempurna. tapi kita lupa cuma Dia yang sempurna. bukan kita, hanya Dia. tiada dua, tiada tiga. cubalah elak, cubalah tolak selagi kita boleh sepak. kalau ajal dah dekat setapak, mana lagi kita nak pijak? dunia ni bulat paksi terpasak.


seronok mengelak sampai kita lupa mana kita berpijak. lalu kita leka mengelak. hingga kita rasa kita hebat. hingga semua yang enak kita rembat. namun, kita lupa..Allah sentiasa ada rahsia yang kita tidak pernah jangka. rahsia yang kita tak mungkin terjangkau.dan rahsia itu pasti, kerna itu janjiNya. janji yang menjadi rahsia sejak azali...dan bila taqwimnya tiba, hari itu bukan lagi milik kita. lalu, saat itulah kita sedar...rupanya manusia itu bukan selamanya didunia. nyawa yang hebat itu adalah milikNya yang Maha Hebat...


"sekuat mana kita rembat, petah mana kita berdebat...itu bukan bermakna kita hebat. kadang-kadang itu cuma wadah ujiah dari Dia Yang Maha Hebat"-pensilkayuDOTkom...

Khamis, 12 Julai 2012

bila hujan turun....


salam sensasi untuk diri sendiri. seperti biasa, jumaat ini aku bangun dengan niat untuk terokai hari yang masih misteri. sedang aku mengelamun di bucu katil, tiba-tiba atap zink rumah aku seakan berirama. semakin lama, semakin rancak. lalu aku senyum..."Alhamdulillah...hujan dah turun"...

tenang rasa bila pagi ini dihiasi dengan hujan. bukan sebab ada alasan untuk masuk kerja lewat. tapi kerana rahmat. bukankah hujan itu rahmat. setitik hujan adalah setitis rahmat. bayangkan, ada berjuta-juta titik hujan yang turun ke bumi ini dalam satu masa, bermakna secara automatisnya, manusia dapat menikmati berjuta-juta titisan rahmat tanpa bayaran secara percuma.

aku tahu, masih ada yang megeluh bila hujan turun waktu-waktu begini. yelah, mungkin sebab kerja. tidak mahu lewat, maka hujan dipersalahkan. ada juga yang mengeluh bila hujan..masakan tidak, banyak lagi pakaian yang masih belum kering. bila hujan juga, siaran televisyen kadang-kala terganggu. ah..mengeluh lagi sang manusia dek kerana hujan. tanpa sedar, hujan itu sebenarnya memberi rezeki. hujan itu sebenarnya punya hikmah yang tak siapa mengerti jika hati hanya tahu menafi. siapa kita untuk menolak. sedangkan hujan itu Allah yang kurnia. siapa kita hendak mengeluh, sedang hujan itu Allah yang atur. maka, nikmatilah ia dengan ikhlas.

bagi aku, hujan itu memberi sesuatu rasa yang indah. hujan itu memberi aku inspirasi. hujan itu bagaikan sebuah rintihan keinsafan. hujan itu nyaman. biarkan basah bumi bertuah, asalkan aku dapat meraih hikmah. atas hujan yang melimpah.

"irama hujan adalah irama ketenangan, bau hujan adalah bau kedamaian, rasa hujan adalah rasa kebebasan, dingin hujan adalah dingin kerinduan"

Khamis, 5 Julai 2012

Untuk Kesekian Kali....







maka tersiaplah dengan sengajanya blog yang maha amatur ini, dimuka maya ini... bukan untuk apa, cuma untuk besuka-suka.. bukan untuk siapa, hanya untuk diriku saja.. bukan kerana apa, hanya kerana bersahaja.. bukan kerna nama, cuma untuk membuang rasa...